Jom chat di sini!

Saturday, January 24, 2009

Stacy @ Majalah Hai - Susah Jadi Artis

Teks oleh : Wahida Othman

Stacy, Riz dan Nubhan lahir ke dunia hiburan pada waktu yang sama. Namun, Stacy dilihat seperti kurang menyengat dan tidak begitu menyerlah meskipun bergelar juara Akademi Fantasia musim keenam. Dari segi publisiti dan kekerapan muncul dalam akhbar serta majalah hiburan, Stacy agak tertinggal jauh di belakang berbanding teman-temannya yang lain.

"Saya tak pernah rasa diri ini ketinggalan ataupun kurang popular berbanding mereka. Bagi saya layanan yang mereka atau saya terima, adalah sama sahaja. Mungkin jugalah saya kurang terdedah dengan media massa sejak akhir-akhir ini sebab sibuk dengan siri promosi album kompilasi di Sabah, hingga tak dapat menghadiri beberapa fotografi. Dari sudut lain, biasalah jika seseorang artis itu ada masa naik dan turun...ada orang menganggap kami cukup popular, malah ada juga segelintir yang menganggap sebaliknya. Itu semua pendapat masing-masing. Tak pernah timbul rasa iri hati atau cemburu," jawab Stacy yang kini muncul dengan lagu single kedua berjudul Gagap selepas lagu Aku Stacy.

MERUNGUT
Di mata peminat mungkin kehidupan sebagai artis itu kelihatan bahagia. Tidak hairanlah ramai anak muda di luar sana berlumba-lumba mahu menjadi artis. Realitinya, bergelar artis tidaklah semudah yang disangka. Bukan hanya perlu menyanyi satu, dua lagu dan kemudian pulang dengan keuntungan. Tidak juga hanya berlakon satu, dua babak, lantas terus duduk berehat bersenang-lenang.
"Susah jadi artis. Kadangkala bila bertemu rakan-rakan dalam akademi dulu, kami sama-sama merungut. Masing-masing tak sangka, susah rupanya hidup di luar ini sebagai artis yang dikenali, berbanding ketika di dalam akademi dulu. Bukan senang untuk menggembirakan hati semua orang. Tak semua orang suka dengan apa yang kita persembahkan. Sebagai artis baru, pasti ada banyak kelemahan. Tapi saya tetapkan pendirian untuk berfikir secara positif. Saya kutip banyak pengalaman setelah bergelar artis dan dijadikan pengajaran untuk terus maju. Biar susah sekalipun, saya masih rela untuk mencari rezeki dalam industri seni," luah Stacy.

KEJUTAN DALAM TARIAN
Selain Stacy, Anugerah Juara Lagu ke 23 (AJL) kali ini menyaksikan banyak muka baru yang sama-sama berjuang untuk memberikan yang terbaik, antaranya Aizat, Aiman, Heliza dan Meet Uncle Hussein. Seperti mereka, Stacy juga begitu terkejut selepas namanya diumumkan sebagai salah seorang peserta yang bakal berentap di atas pentas pertandingan yang mencatat rating tinggi itu.
"Dengan langsung tiada pengalaman rasanya macam saya belum layak bersaing dengan nama-nama besar. Untuk menjangkakan kemenangan, memang saya tak berani nak meramalkan kerana pada saya menang atau kalah, itu semua rezeki dari Tuhan. Berjaya masuk ke peringkat akhir, sudah cukup menggembirakan saya. Sebelum pertandingan saya banyak melakukan aktiviti lasak, dan setiap hari saya akan berjoging untuk kuatkan stamina saya. Untuk AJL nanti saya ada sedikit kejutan dari segi tarian, dan saya harap para peminat akan terhibur," ujarnya yang nampak lebih bergaya dengan fesyen rambut hitam lurus berbanding warna perang sebelum ini.

POST BY : CYPAN

0 komen: