Jom chat di sini!

Saturday, March 14, 2009

'Aku Stacy, bukan Agnes Monica' - Stacy @ MStar

DIA digelar Agnes Monica Malaysia. Aksi lincah Stracie Angie Anam atau mesra dipanggil Stacy tatkala beraksi di pentas sememangnya mengingatkan kita dengan persembahan bertenaga yang sering dipamerkan oleh penyanyi popular Indonesia itu.

Namun, Stacy adalah Stacy. Walaupun gelaran itu sudah sinonim dengan dirinya, juara Akademi Fantasia musim keenam ini tidak merasakan dirinya sudah 'setaraf' dengan bintang Indonesia itu.

"Saya tidak nafikan, dari segi konsep, memang ada sedikit 'dipengaruhi' oleh Agnes. Lagipun, saya memang suka melihat gaya persembahannya. Tetapi tidaklah sehingga ingin meniru Agnes.

"Mungkin kami banyak persamaan kerana sering menyanyi sambil menari di pentas, tetapi jika dilihat dari segi lagu dan cara nyanyian kami, ia jauh berbeza.

Stacy mempertaruhkan album sulungnya, Aku Stacy

Meskipun dilabel Agnes Monica Malaysia, Stacy tidak menganggap dirinya setaraf penyanyi popular Indonesia itu

Dua buah lagu lagi ialah Aku Stacy versi 'live' dan Cinta Khayalan, sebuah lagu yang pernah dinyanyikan oleh Stacy pada konsert AF6 dulu.

Antara komposer yang terlibat di dalam album ini ialah Audi Mok, Kieran Kuek dan Edry KRU. Ketika ini, dua buah single nyanyiannya, Aku Stacy dan Gagap telah pun dimainkan di radio.

Stacy dijangka akan mempertaruhkan single ketiganya, Pakai Buang ciptaan Edry KRU tidak lama lagi.

Ditanya tentang penampilan atau imej yang ingin diketengahkan, kata penyanyi yang tercalon di dalam kategori Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular 2008 ini, dia lebih gemar dengan penampilan yang dirasakan selesa untuk dirinya.

"Sejujurnya, saya mungkin tidak begitu bagus dalam segi imej. Nasib baik saya sering dibantu oleh kakak, saudara dan adakalanya, pihak Maestro sendiri akan membantu saya dari segi penampilan.

"Tetapi, saya lebih senang pakai apa yang saya selesa memandangkan ketika di pentas, saya perlu tampil dengan pakaian yang senang untuk saya bergerak dan menari," kata Stacy.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maestro, Freddie Fernandez berkata, walaupun pasaran album amat lembab ketika ini, namun itu tidak menghalang Maestro untuk menerbitkan album juara AF6 itu.

"Ketika ini, kami memang lebih senang menghasilkan single saja untuk artis-artis di bawah label ini. Tetapi memandangkan Stacy adalah juara AF6, kami rasa apa salahnya hasilkan album penuh untuknya.

"Itupun kami terpaksa rendahkan kos penerbitan dengan mengurangkan bilangan lagu di dalam album ini. Apa yang saya harapakan, dengan cara ini, 'at least' semua lagu baru dalam album ini akan dapat diberi perhatian oleh stesen radio.

"Tetapi apa yang boleh saya katakan, album ini menampilkan lagu-lagu yang sesuai dengan imej remaja Stacy. Dan saya yakin, album ini mampu menjadi batu loncatan untuk Stacy menjadi penghibur yang baik," kata Freddie.


Saturday, March 7, 2009

Stacy tak boleh 'tegak' saja - Stacy @ Harian Metro

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Bagi Ahmad Nubhan Ahamad, 22, bakat baru yang dilahirkan menerusi program realiti Akademi Fantasia enam (AF6), ternyata tuah berpihak kepadanya apabila namanya terus melonjak menerusi single pertama, Ada Untukmu dan single kedua bertajuk, Seadanya Aku, juga sudah kedengaran di radio.

Manakala Stracie Angie Anam atau Stacy, 19, yang turut dilahirkan menerusi program sama pula menumpang tuah Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) apabila berjaya menunjukkan persembahan mantap melalui lagunya, Aku Stacy, yang bertanding dalam kategori pop rock.

Sebelum berjaya ke AJL23, nama Stacy yang juga Juara AF6 agak tenggelam berbanding Nubhan. Namun segalanya berubah apabila penyanyi kelahiran Kampung Tuavon, Penampang, Sabah itu membuktikan kepada penonton AJL23 yang dia bersungguh dalam mengejar impiannya menjadi penyanyi terkenal.

Kehebatan Stacy bukan setakat pada suara yang serak basah tetapi dia juga boleh menari dengan baik mewarisi bakat abangnya, Camellus Dellely Anam, 21, atau Chak iaitu penari tetap Adam AF.

Sebelum menyertai AF lagi Stacy boleh menari dengan tunjuk ajak Chak. Jika tidak sibuk mengiringi Adam membuat persembahan, Chak akan menari untuk persembahan Stacy.

"AJL23 membuka peluang luas kepada kerjaya nyanyian saya apabila peminat muzik mula memberi perhatian terhadap bakat saya. Tak dapat trofi AJL23 pun tidak mengapa kerana saya sudah menganggap yang saya menang apabila berjaya membuka mata masyarakat terhadap kemampuan saya dalam bidang seni.

"Barangkali sebelum ini ramai tidak tahu saya boleh menyanyi dan menari dengan baik. Maka sebaik saja lagu Aku Stacy berjaya ke AJL23, saya berlatih sebaik mungkin kerana pentas AJL23 adalah peluang terbaik untuk menunjukkan kemampuan diri.

"Saya ingin mencipta 'pengenalan' sendiri iaitu penyanyi yang boleh menari. Sebab itu saya suka membawakan lagu rancak. Apabila menyanyikan lagu perlahan pun saya masih hendak menggoyangkan badan. Pernah saya cuba berdiri tegak tetapi terasa suara tersekat di kerongkong. Jadi apabila menyanyikan lagu perlahan pun saya mesti menari sedikit.

"Rezeki kian murah selepas AJL23. Jika sebelum ini saya banyak mendapat tawaran menyanyi di Sabah tetapi sekarang di Semenanjung pun sudah banyak. Sekarang semakin kerap berulang-alik antara Sabah dan KL (Kuala Lumpur) memenuhi undangan. Naik kapal terbang dah macam naik bas turun," katanya.

Selama tiga hari mulai 6 hingga 9 Mac ini Stacy akan berada di Sabah untuk mempromosikan album sulungnya di sana yang ditaja Tan Sri Bernard Dompok. Pelancaran album itu akan diadakan di One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah, pada 8 Mac.

Album berjudul Aku Stacy itu menyisipkan lagu Aku Stacy yang diterbitkan dalam versi konsert dan studio serta lagu Gagap, Pakai Wang, Cinta Yang Ku Duga, Cerah dan Khayalan.

"Saya tidak sabar menunggu album ini keluar dan akhirnya menjadi kenyataan juga. Album itu dilancarkan di Sabah kerana banyak permintaan di sana dan kesudian Tan Sri Bernard untuk menaja majlis pelancaran album itu. Bagaimanapun album itu sudah berada di pasaran seluruh negara awal bulan ini," katanya.

Dengan kejayaan yang dikecapi kini, Stacy pernah mengajak keluarganya berpindah ke KL bagaimanapun ibu serta adiknya lebih selesa menetap di kampung halaman mereka di Penampang. Di KL, Stacy tinggal bersama penarinya di Taman Desa.

"Walaupun saya tinggal berjauhan daripada keluarga, kami selalu berjumpa. Apabila menjayakan undangan persembahan di sana saya ambil peluang balik kampung sekali. Syukur sekarang saya dapat memberi kesenangan kepada keluarga," katanya.

Nubhan pula yang sebelum ini dikatakan sombong menjelaskan dia segan hendak bergaul dengan artis lama. Katanya, dia tidak tahu hendak membawa diri jika berada dalam kelompok artis popular kerana dia masih baru.

"Saya tak tahu penerimaan mereka terhadap saya yang baru bertapak dalam bidang ini. Saya takut hendak tegur mereka apatah lagi untuk berbual mesra. Sudikah mereka melayan saya yang masih hingusan ini?

"Sebab itu apabila bertemu artis popular di mana-mana persembahan saya lebih suka menyendiri. Bukan itu saja, waktu buat persembahan pun saya segan hendak berkomunikasi dengan penonton bimbang kata-kata saya tidak menghiburkan mereka. Risau juga kalau saya buat lawak orang tak ketawa.

"Selepas hampir setahun dalam industri baru saya berjaya membuang rasa malu. Kini tidak segan lagi bergaul dengan artis lama. Mereka semua baik belaka cuma saya takut dengan bayang-bayang sendiri. Saya juga semakin yakin berhadapan dengan penonton.

"Sekarang saya boleh bercakap apa saja bersesuaian konsep persembahan dan tetamu yang hadir asalkan ia tidak menyentuh perkara sensitif. Saya perlu berani berubah untuk berjaya.

"Selagi tiada keyakinan diri susah hendak memajukan karier. Saya berharap selepas ini tiada yang melabelkan saya sombong," katanya.

Seperti Stacy, Nubhan juga tidak sabar menanti kemunculan album sulungnya pertengahan tahun ini.

Stacy dan Nubhan ditemui pada majlis penyerahan replika cek Rafflesia Pearl Center yang menaja Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2008), kelmarin. Rafflesia menaja barang kemas bernilai RM535,000.

Replika cek itu disampaikan pengarahnya, Winnie Sin kepada Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Manja Ismail.

Selain Nubhan dan Stacy yang juga finalis ABPBH2008, hadir sama Nurul Alis (Kiki) dan Dynas. Mereka turut menggayakan perhiasan mutiara dari Rafflesia.

Pada ABPBH2008, Stacy tersenarai dalam kategori Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular, Nubhan pula dicalonkan dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular.