Jom chat di sini!

Saturday, January 17, 2009

Polar Perubahan Anugerah Juara Lagu


Teks oleh Ellyna Ali
Sumber dari Murai.com

KUALA LUMPUR, 16 JAN 2008: Banyak perubahan yang telah tercetus dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Nama-nama besar seperti seperti M Nasir, Adnan Abu Hassan, Saari Amri, Fauzi Marzuki, Azmeer, LY, Helen Yap, Johan Nawawi, KRU, S Atan dan Pak Ngah nampaknya sudah semakin kurang menguasai pertandingan yang bertujuan mengangkat kualiti karya lagu dan lirik tempatan.


Sebaliknya, ia semakin banyak dimonopoli kebanyakan komposer serta penulis lirik muda dari kalangan generasi yang baru. Inilah polar perubahan yang dapat dilihat menerusi Malam Kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-22 (AJL22) yang bakal berlangsung Stadium Putra, Bukit Jalil, Ahad ini.

Antara wajah-wajah komposer dan penulis lirik baru yang muncul dalam AJL22 adalah Norul Intan Azlin dan Layla Ismail yang telah mencipta lagu untuk Stacy menerusi Aku Stacy, manakala Hafiz Hamidun Hamidun untuk Aiman menerusi Dusta Berkalang.


Bintang Akademi Fantasia 5, Aizat pula telah mencipta serta menulis sendiri lirik lagunya, Lagu Kita. Begitu juga dengan Faizal Tahir yang telah menulis sendiri lirik lagu bagi kedua-dua lagunya, Cuba dan Sampai Syurga.


Dalam pada itu, Estranged yang sebelum ini telah mencetuskan kejutan apabila menjadi band muzik Indie pertama memenangi AJL tahun lalu, telah muncul kembali dengan karya baru ciptaan mereka, Yang Pernah.


Tidak terkecuali Zimi, Aremeer dan One daripada Sofaz menerusi Bukan Di Sini serta Taja, Tass dan Lan daripada Meet Uncle Hussein yang buat pertama kalinya mempertaruhkan lagu ciptaan mereka, Lagu Untukmu. Sebelum ini, lagu ciptaan Taja dan Tass, Janjiku nyanyian Sofaz telah berjaya melangkah ke peringkat pertandingan AJL21.


Komposer serta penulis lirik baru yang telah sekian lama dikenali seperti Audi Mok, Tam Spider serta Ahmad Fedtri Yahya pula terus memberi saingan kepada AJL22. Manakala, komposer atau pun penulis lirik senior yang masih lagi berjuang adalah Azlan Abu Hassan, Eddie Hamid, Aidit Alfian, Julfekar, Ajai, Habsah Hassan, Loloq, Azalea, Ad Samad serta Ku Seman.


Perubahan yang berlaku dalam AJL22 boleh disifatkan sebagai menarik kerana sedar atau tidak, ia sebenarnya telah mencetuskan satu evolusi di dalam perkembangan muzik tanah air. Evolusinya adalah masyarakat mahupun sesuatu yang segar dan baru daripada karyawan generasi muda.


Lagu mana layak jadi juara AJL22?


Banyak persepsi yang mengatakan bahawa salah satu lagu nyanyian Faizal Tahir iaitu Cuba ataupun Sampai Ke Syurga yang berada dalam kategori balada bakal dinobatkan sebagai Juara AJL22 kerana dia adalah artis di bawah label Monkey Bone iaitu anak syarikat Media Prima.


Atas sebab itu, ada pihak mendakwa TV3 selaku penganjur pertandingan mungkin mempunyai agenda tertentu untuk memberikan kemenangan buat Faizal.


Namun hakikatnya, kalau dilihat dari sudut yang lain, kedua-dua lagu ciptaan Audi Mok dan Faizal Tahir itu sememangnya mempunyai kekuatan tersendiri untuk menang.


Cuba memiliki kekuatan liriknya kerana ia menampilkan luahan hati seorang lelaki apabila seseorang yang disayangi tidak mampu mendengar apa yang ingin disuarakannya sedangkan dia sentiasa berada di sisi gadis itu saat diperlukan.


Lagu yang turut dilihat bersaing hebat bagi kategori yang sama adalah Lagu Kita ciptaan dan nyanyia Aizat. Lagu ini dilihat mempunyai potensi yang cukup tinggi kerana ia mewakili lagu yang pendengar hari ini mahukan.


Lagu lain yang berada dalam kategori balada iaitu Hanya Di Mercu, Bila Naik Saksi dan Dingin adalah jenis lagu yang telah biasa kita dengar sebelum ini.


Banyak juga yang menganggap Estranged menerusi lagu Yang Pernah akan mengulangi semula kejayaan seperti mana Itu Kamu sebagai Juara Lagu dan juara kategori Pop Rock.


Perkara itu tidak mustahil berlaku kerana lagu tersebut mempunyai komposisi yang mantap dari sudut melodi serta liriknya. Namun Estranged juga perlu berdepan dengan Kalis Rindu (Aidit Alfian/Ad Samad) nyanyian Elyana.


Lagu yang berentak retro dan penuh attitude ini disifatkan mampu memberikan kejutan yang cukup besar buat Estranged berbanding Lagu Untukmu, Aku Stacy dan Bukan Di Sini yang mempunyai sedikit kekurangan dari segi kekuatan melodi atau pun lirik mereka.


Bagaimana pula dengan kategori Etnik Kreatif? Ketiga-tiga lagu yang dipertandingkan dalam kategori ini iaitu Doa Dalam Lagu, Dusta Berkalang serta Persoalan Cinta tidak mempunyai kriteria yang kuat sebagai juara.


Bagi kategori Vokal Terbaik, peluang yang besar terletak pada Faizal Tahir, Aizat, Elyana dan Stacy. Namun, peserta yang lain juga mampu membuat kejutan mereka terutama penyanyi senior kita, Ziana Zain.


Begitu juga dengan kategori, Persembahan Terbaik siapa tahu ia mungkin milik peserta dari kategori Elyana atau Stacy.


SENARAI LAGU BERTANDING



Balada

- Sampai Syurga/ Faizal Tahir (Audi Mok & Faizal Tahir)
- Bila Nak Saksi / Spider (Tam Spider & Loloq)
- Hanya Di Mercu/ Ayu OIAM (Aubrey Suwito & Habsah Hassan)
- Cuba / Faizal Tahir (Audi Mok & Faizal Tahir)
- Lagu Kita/ Aizat (Aizat)
- Dingin/ Ziana Zain (Azlan Abu Hassan & Azalea)


Pop Rock

- Kalis Rindu/ Elyana (Aidit Alfian & Ad Samad)
- Lagu Untukmu / Meet Uncle Hussain (Taja, Tass, Lan & Taja, Tass)
- Yang Pernah/ Estranged (Estranged)
- Aku Stacy/ Stacy (Intan Norul Azlin & Inton Norul Azlin/ Layla Ismail)
- Bukan Di Sini/ Sofaz (Zimi & Aremeer/One)


Etnik Kreatif

- Doa Dalam Lagu/ Zahid dan Heliza (Ajai & Loloq)
- Dusta Berkalang/ Aiman (Hafiz Hamidun & Ahmad Fedtri Yahya)
- Persoalan Cinta/ Farawahida (Julfekar & Ku Seman/ Izza Rosley)

POST BY : QUEEN OF MEROYAN @ CYPAN

0 komen: