Jom chat di sini!

Thursday, January 22, 2009

5 Persembahan Terbaik AJL 23

Teks Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

1) Faizal Tahir (Sampai Syurga)

Mempertaruhkan dua buah lagu iaitu Cuba dan Sampai Syurga, ternyata lagu Sampai Syurga yang paling dinanti-nantikan kerana sebelum ini juga, Faizal sendiri menyatakan dia akan melakukan sesuatu yang agak berbeza untuk persembahannya malam itu.

Ternyata, Faizal mengotakan janjinya dan melihatkan dia berdiri di atas pentas mengalunkan lagu Sampai Syurga, impak yang diberikan memang cukup besar sehingga menimbulkan histeria di kalangan penonton yang memenuhi Stadium Putra.

Menyelitkan unsur drama dengan meletakkan beberapa orang pelakon yang melengkapi jalan cerita Sampai Syurga, menjadikan persembahan Faizal yang ringkas itu meninggalkan bekas yang cukup mendalam dan meremangkan bulu roma.

Semuanya dilakukan dalam tempoh masa yang cukup bersesuaian dengan lagu menjadikan persembahan Faizal begitu kemas dan tidak terlihat sebarang cacat-cela di dalam persembahannya.

Ditambah pula dengan alunan indah koir yang menjadikan lagu Sampai Syurga begitu indah sehingga ia mampu membawa kita menerawang jauh menghayati jalan cerita untuk lagu yang cukup indah ini.

Kerana itu juga, tanpa syak dan ragu, sememangnya trofi Persembahan Terbaik layak menjadi milik Faizal. Syabas dan tahniah kerana begitu berani dan kreatif dalam mewarnakan persembahan anda!

2) Meet Uncle Hussain (Lagu Untuk Mu)

Persembahan kumpulan ini sememangnya yang paling dinanti-nantikan oleh peminat yang berada di stadium.

Mengapa? Kerana kumpulan ini mempunyai auranya yang tersendiri dan pesona mereka di atas pentas mengundang peminat untuk terus menikmati muzik mereka.

Bukan itu sahaja, kekuatan Meet Uncle Hussain sebenarnya terletak pada kekuatan vokal penyanyinya, Lan yang unik. Bukan pada vokalnya sahaja, tetapi gelagat dan penguasaan pentas Lan juga begitu cemerlang.

Pada AJL23 juga memperlihatkan bagaimana Meet Uncle Hussain begitu kreatif mencorakkan persembahan mereka dengan mengenakan solekan yang berkarakter seolah-olah menggambarkan diri mereka di pentas muzik.

Kesemua ahli kumpulan Meet Uncle Hussain juga bermain dengan penuh bertenaga dan bersemangat lantas menjadikan mereka bintang pada malam AJL23.

3) Aizat (Lagu Kita)

Seperti mana yang dijanjikan Aizat sebelum ini yang mahu memberikan persembahan yang ringkas namun dalam masa yang sama meninggalkan kesan yang mendalam, itulah yang terjadi pada malam AJL23.

Persembahan Aizat menerusi lagu ciptaan sepenuh olehnya, Lagu Kita antara persembahan yang paling comel dan terasa mahu menyayangi dirinya.

Hanya berdiri di atas pentas dengan busana ringkas berona hitam serta berbekalkan gitar akustiknya, Lagu Kita pada malam itu menjadi begitu indah.

Persembahannya begitu ringkas namun, ia berjaya membuatkan penonton memakukan diri masing-masing untuk terus menonton Aizat di atas pentas.

Untuk kelainan, Aizat menampilkan kakaknya sebagai penyanyi latar. Ditambah pula dengan iringan piano dan muzik orkestra serta penghayatan Aizat yang memacu lagu ini ke puncak, sudah cukup melayakkan Aizat antara penyanyi yang berjaya membuat penonton meremang bulu roma.

Adakah mungkin kerana teman istimewanya, Liyana Jasmay berada di barisan penonton telah memberikan semangat buat Aizat dalam penghayatannya? Hanya Aizat sahaja yang ada jawapannya.

4) Elyana (Kalis Rindu)

Persembahan yang begitu unik dan lain daripada yang lain lantas menjadikan persembahan Elyana pada malam itu antara yang terbaik.

Elyana ternyata begitu bijak menginterpretasi jalan cerita lagu Kalis Rindu dalam persembahannya yang ala Broadway itu.

Ada masanya Elyana kelihatan cukup comel namun dalam masa yang sama, Elyana juga dilihat begitu nakal dan menggoda menyampaikan lagu dan lirik ciptaan Aidit Alfian dan Ad Samad ini.

Dengan hanya duduk sahaja di atas pentas yang berupa sebuah kotak besar, membuatkan penonton dan peminat kini mampu membuka mata tentang bakat yang dimiliki oleh Elyana.

5) Stacy (Aku Stacy)

Stacy juga antara penyanyi yang menjadi perhatian pada malam AJL23 kerana ramai yang mahu melihat persembahan bertenaganya tatkala menyampaikan lagu Aku Stacy.

Dan, Stacy membuktikan kehadirannya di persada seni tanah air bukanlah satu yang sia-sia kerana menerusi persembahan Stacy pada malam itu, Stacy mampu untuk berada dalam industri untuk jangka masa yang lama.

Berbekalkan kuasa dan semangat yang ada dalam dirinya, menjadikan persembahannya begitu energetik dan menarik sekali. Malah, vokalnya juga ampuh sepanjang mempersembahkan lagu tersebut.

Gerak tarinya begitu kemas dan bertenaga lantas tidak salah untuk mengatakan Stacy boleh diibaratkan seperti penyanyi dari seberang iaitu Agnes Monica.


POST BY : CYPAN

0 komen: